Wednesday, May 25, 2011

SULTAN SIR IBRAHIM AL-MASYHUR IBN. ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR (1895-1959)

Al-Marhum Baginda Mejar Jeneral Sultan Sir Ibrahim al-Masyhur Ibn. Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar.
Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim
(7 September 1895 hingga 8 Mei 1959)


Tanggal 17 September 1873, lahir seorang putera di Istana Bidadari, Singapura dan diberi nama Tunku Ibrahim. Baginda merupakan putera kepada Sultan Abu Bakar Ibn. Almarhum Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim dengan Cik Besar Zabedah Abdullah.

Perjalanan karier politik baginda bermula apabila baginda di lantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 23 Mei 1891, iaitu ketika baginda berusia 18 tahun. Pada 4 Jun 1895, ayahanda baginda Sultan Abu Bakar mangkat di London dan dimakamkan di Makam Bukit Mahmodiah, Johor Bahru pada 7 September 1895. Dengan kemangkatan ayahanda baginda, Tunku Mahkota Ibrahim diistiharkan oleh Dato’ Jaafar Muhammad sambil disaksikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charles Mitchell (1894-1899) sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Ibrahim pada usia 22 tahun.

Sultan Ibrahim selepas ditabalkan sebagai Sultan Johor (1895).

            Pada peringkat awal pemerintahan baginda, Sultan Ibrahim dibantu dan dinasihatkan dalam hal ehwal kerajaan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang telah berpegalaman seperti Dato’ Jaafar Muhammad (Menteri Besar Johor), Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak (Setiausaha Kerajaan) dan Dato’ Bentara Luar Muhammad Salleh Perang.  Baginda telah menubuhkan sebuah Lembaga Penasihat Kerajaan Johor di London bagi membuktikan Kerajaan Johor merupakan kerajaan yang bebas dan berdaulat. Pada tahun 1905, Sultan Ibrahim telah menubuhkan Pasukan Sukarelawan Johor (Johore Volunteer Forces) dan memperlengkapkan Pasukan Timbalan Setia Johor (Johore Military Force) dengan senjata yang moden dan canggih.

Sultan Ibrahim berpakaian rasmi sebagai Mejar Jeneral Pasukan Timbalan Setia Johor (JMF) dan Pasukan Sukarelawan Johor (JVF)

            Inggeris tidak senang dengan tindakan Sultan Ibrahim terutamanya baginda dipengaruhi oleh Setiausaha Kerajaan iaitu Dato’ Seri Amar Diraja dalam membuat setiap keputusan. Akhirnya atas desakan Sir John Anderson (1904-1911), Gabenor Negeri-Negeri Selat, Dato Abdul Rahman Andak dibersarakan di London pada tahun 1905 dan dibayar elaun bulanan. Pada 11 Mei 1914, satu perjanjian ditandatangani antara baginda dengan Sir Arthur Young (1911-1920), Gabenor Negeri-Negeri Selat dimana Johor akan menerima Sir Douglas James Campbell sebagai Penasihat Am Inggeris pertama di Johor. Walaupun baginda menerima penasihat Inggeris, kuasa pemerintahan baginda kekal dan tidak berkurangan seperti mana raja-raja Melayu lain dimana kuasa mereka di kawal oleh Residen Inggeris dan berperanan hanya terhadap adat Istiadat Melayu dan agama Islam sahaja. Hal ini terbukti dengan lawatan baginda ke negara-negara luar. Pada 12 Mac 1934, Sultan Ibrahim telah mengadakan lawatan ke Jepun dan mengadap Maharaja Hirohito. Di Jepun, baginda telah dianugerahkan darjah kebesaran Order of The Rising Sun oleh Maharaja Hirohito. Pada bulan Jun 1934, baginda telah mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Roosevelt di White House. Manakala pada bulan Ogos 1934, baginda telah mengadakan lawatan ke England dan menemui Raja George V di Istana Buckingham.

            Pendudukan Jepun di Johor (1942-1945) mengantikan Inggeris tidak membawa apa-apa perubahan kepada pemerintahan Johor malahan tentera dan pegawai Jepun amat menghormati baginda kerana baginda memiliki Order of The Rising Sun kurniaan Maharaja Jepun.

            Selepas pendudukan Jepun berakhir, Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu. Kali ini sistem pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu mula berubah, Inggeris ingin memperkenalkan Malayan Union. Untuk merialisasikan hasrat mereka, mereka harus mendapatkan persetujuan daripada Raja-raja Melayu. Wakil Inggeris iaitu Sir Harold Mac Michael yang dibertangungjawabkan mendapatkan tandatangan persetujuan raja-raja Melayu telah menemui Sultan Ibrahim dan baginda telah menandatangani perjanjian pada 20 Oktober 1945. Malayan Union secara rasmi terbentuk pada 1 April 1946. Walau bagaimanapun penubuhan Malayan Union ini mendapat bantahan daripada orang-orang Melayu kerana mengugat kedudukan dan keistimewaan Orang Melayu. Akhirnya Malayan Union dibubarkan pada 1 Febuari 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Setem Jubli Intan Sultan Ibrahim.

video


            Pada 17 September 1955, kerajaan telah mengadakan Sambutan Jubli Intan 60 tahun pemerintahan baginda Sultan Ibrahim dalam Kerajaan Johor. Pada masa yang sama turut diadakan ulang tahun keputreraan baginda ke  82 tahun. Oleh kerana kedudukan baginda sebagai raja Melayu terkanan antara raja-raja Melayu yang lain, baginda telah ditawarkan sebagai calon Yang Di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Walau bagaimanapun, Sultan Ibrahim telah menolak disebabkan keadaan kesihatan baginda tidak mengizinkan. Malahan segala urusan rasmi kerajaan, baginda telah mewakilkan Tunku Mahkota Ismail mewakili baginda. Pada hari pengistiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Negeri Johor diwakili oleh Tunku Mahkota Ismail.

Dalam urusan kekeluargaan baginda, sejarah mencatatkan baginda Sultan Ibrahim memiliki ramai permaisuri dan sultanah. Isteri pertama baginda ialah Ungku Maimunah bte Ungku Abdul Majid. Selepas baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor, Ungku Maimunah di anugerahkan gelaran Tunku Ampuan Besar Maimunah ibn almarhum Ungku Abdul Majid. Perkahwinan Sultan Ibrahim dengan Tunku Ampuan Maimunah memperoleh seorang putera iaitu Tunku Mahkota Ismail. Bagaimanapun, perkahwinan baginda berakhir selepas Tunku Ampuan Maimunah mangkat pada 2 September 1909. Selepas itu, Sultan Ibrahim berkahwin dengan Sultanah Ruqaiya (30 Ogos 1920-8 Mac 1926), Che Puan Dara  Hasana bt. Dato’ Jaafar Muhammad dan Ungku Intan bt. Ungku Ahmad. Sultan Ibrahim turut mengahwini 2 orang wanita Inggeris berdarah bangsawan iaitu Helen Barthomew dan Marcela Mendl. Helen dimahkotakan sebagai Sultanah Johor dengan gelaran Sultanah Helen Ibrahim pada 18 November 1931. Bagaimanapun, perkahwinan tidak kekal apabila Sultan Ibrahim menceraikannya pada 1934. Perkahwinan terakhir Sultan Ibrahim ialah dengan Marcela Mendl. Marcela dimahkotakan sebagai Sultanah Johor pada 17 September1955 dengan gelaran Sultanah Marcela Ibrahim. Bagaimanpun, baginda lebih dikenali sebagai Lady Marcela. Perkawinan Sultan Ibrahim dengan Sultanah Marcela memperoleh seorang puteri iaitu Tunku Mariam. Perkawinan mereka kekal hingga Sultan Ibrahim mangkat.

Tunku Ampuan Maimunah bte Ungku Abdul Majid
(7 November 1895-2 September 1909)

Sultanah Helen
(15 Oktober 1930-1932)

Sultanah Marcela Ibrahim
(6 November 1940-1959)

            Keadaan kesihatan baginda Sultan Ibrahim selepas sambutan Jubli Intan pemerintahan baginda amat tidak mengizinkan. Baginda mengambil langkah sama seperti almarhum ayahanda baginda untuk pergi ke London untuk berubat pada bulan Jun 1958. Tetapi baginda telah mangkat di London pada 8 Mei 1959 ketika berusia 86 tahun dan memerintah Johor selama 63 tahun. Baginda dibawa pulang ke Johor dan dimakamkan di Makam Bukit Mahmodiah, Johor bahru pada 6 Jun 1959.




Sekitar istiadat permakaman dan perkebumian baginda almarhum Sultan Ibrahim.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...